KUALA LUMPUR:
“Tiada peraturan yang membolehkan guru mengenakan sebarang hukuman
fizikal terhadap murid,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri
Alimuddin Mohd Dom.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan seorang
guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan SS 17 yang didakwa mencubit
pipi dan lengan seorang murid Orang Kurang Upaya (OKU), Zulhilmi Hakim,
12, hingga meninggalkan kesan lebam.
Kejadian berkenaan disedari
bapa mangsa, Ismail Humaidi Ahmat, 45, selepas menjemput anak kedua
daripada tiga beradik itu dari sekolah, di Subang Jaya, jam 3 petang,
Isnin lalu. Bagaimanapun katanya, hanya guru besar dan pengetua saja
mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman fizikal terhadap murid seperti
merotan tapi perlu mengikut peraturan tertentu.
“Walaupun mereka
mempunyai kuasa berbuat demikian, ia haruslah mengikut kaedah disediakan
semasa pelaksanaan hukuman seperti dengan dihadiri saksi, dalam keadaan
tertutup dan melalui cara tertentu.
“Selain itu, dalam keadaan
sekarang, sentuhan fizikal antara guru dan murid memang tidak dibenarkan
sama sekali,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Katanya,
beliau akan mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak (guru dan
murid terbabit) dan memaklumkan kepada guru besar sekolah itu supaya
menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian itu.
“Bagaimanapun,
jika laporan didapati tidak lengkap, saya akan meminta jemaah nazir
sekolah menyediakannya. Perkara berkaitan anak-anak perlu dibincang
antara kedua-dua pihak dan diharap ibu bapa tidak perlu bimbang kerana
siasatan akan dijalankan secepat mungkin,” katanya.
Mengulas
mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap guru berkenaan,
Alimuddin berkata, keputusan hanya akan diketahui selepas siasatan
terperinci dilaksanakan jawatan kuasa disiplin. Semalam, Harian Metro
menyiarkan dakwaan murid OKU yang didera guru pendidikan Islam di
sekolahnya hingga lebam di pipi dan kedua-dua lengannya. Zulhilmi yang
menghidap ‘dyslexia’ turut mendakwa guru berkenaan akan mencubitnya
apabila dia tidak dapat membaca dan ia berlaku sebelum cuti Tahun Baru
Cina dan selepas sekolah dibuka selepas perayaan itu. Dia yang pada
mulanya hanya mendiamkan diri apabila ditanya kesan itu akhirnya
mengakui kejadian berkenaan dilakukan ustaz di sekolahnya selepas
dipujuk berulang kali oleh ibunya, Che Zaini Ahmad, 45.
Bagaimanapun,
ketika ditanya guru yang dimaksudkan murid itu sehari selepas kejadian,
dia menafikan perkara terbabit dan mendakwa Zulhilmi mungkin terjatuh
ketika di rumah
No comments:
Post a Comment